Iman Sesedap Isi Buah Kelapa

Iman Sesedap Isi Buah Kelapa
Kadangkala saya terfikir...emm..dalam lautan manusia di dunia sekarang ini, bagaimana kita boleh menjadi insan 'special' di sisi Allah? Seperti Umar Al Khatab ini....

       UMAR BIN KHATAB adalah salah seorang daripada sekian ribu sahabat Rasulullah SAW  yang telah dijanjikan Bidadari Edisi Special... Semenjak beliau memeluk Islam, kaum muslimin seolah mendapat kekuatan baru yang sangat dasyat. Makbulnya doa Rasulullah SAW, "Ya Allah, muliakanlah Islam dengan masuknya salah seorang dari dua Umar." iaitu Umar Bin Khatab dan Amr Bin Hisyam atau dikenali sebagai Abu Jahal. Setelah Islamnya Umar, umat Islam berani solat dan tawaf di Kaa'bah secara terang-terangan. Umar sangat wara', teliti dan berhati-hati terhadap dosa hingga sekecil-kecilnya. Bahkan beliau sangat takut kalau-kalau masuk neraka walaupun beliau antara 10 sahabat yang dijamin syurga. Umar r.a mempelajari surah Al-Baqarah selama 10 tahun, kemudian beliau melapor kepada Rasulullah SAW, "Wahai Rasulullah SAW apakah kehidupanku sudah mencerminkan surah Al-Baqarah? Apabila belum, maka aku tidak akan melanjutkan ke surah berikutnya." Rasulullah menjawab, "Sudah..!"  

   Umar r.a mengamalkan dinul Islam, agama haq ini sesuai dengan kehendak Allah SWT, kerana kesungguhan beliau, banyak ayat di dalam Al-Qur'an yang diturunkan Allah SWT berdasarkan kehendak di hatinya, seperti pengharaman arak, ayat mengenai hijab, ayat tentang tawanan perang Badar, seputar penciptaan manusia dalam surah Al-Mu'minuun 12-14, "Fatabaarakallahu Ahsanal Khaliqiin...Maka Maha Suci Allah, Pencipta Yang Paling Baik"..dan beberapa ayat Al-Quran yang lain.

       Rasulullah SAW seringkali bercerita kepada para sahabat peristiwa Mi'raj beliau menghadap Allah SWT dan sering juga beliau menceritakan bagaimana keadaan syurga yang dijanjikan Allah SWT kepada para   sahabatnya.

      Suatu hari ketika Rasulullah SAW dimi'rajkan menghadap Allah SWT, malaikat Jibril AS memperlihatkan kepada beliau taman-taman syurga. Rasulullah SAW melihat ada sekumpulan bidadari yang sedang bergurau senda. Ada seorang bidadari yang sangat berbeza dengan yang lainnya. Bidadari itu menyendiri dan nampak sangat pemalu. Rasulullah SAW bertanya kepada Jibril, "Wahai Jibril, bidadari siapakah itu?" Malaikat Jibril menjawab,

"Bidadari itu adalah untuk sahabatmu, Umar r.a. Pernah suatu hari dia membayangkan tentang syurga yang engkau ceritakan keindahannya. Dia mengingin seorang bidadari yang berbeza dengan yang lainnya. Bidadari yang dia inginkan itu berkulit hitam manis, dahinya tinggi, bahagian atas matanya bewarna merah dan bahagian bawah matanya bewarna biru serta memiliki sifat yang sangat pemalu. Oleh kerana sahabatmu itu selalu memenuhi kehendak Allah SWT, maka saat itu juga Allah SWT menjadikan seorang bidadari untuknya sesuai dengan apa yang dikehendaki hatinya."

      MasyaAllah...Subhanallah. Begitulah, seorang bidadari edisi 'special' khusus buat Umar Bin Khatab seorang yang sangat ditakuti syaitan. Berbeza sangat dengan kita yang tak ditakuti oleh syaitan tapi mungkin lebih disenangi syaitan...Nau'zubillah... 

      'Special'nya seorang Umar Al-Khatab yang memiliki iman sesedap isi buah kelapa ini... Bagaimana saya boleh katakan begitu? Menurut Imam Al-Ghazali, beliau mengibaratkan tingkatan iman seperti sebiji buah kelapa yang mempunyai empat lapisan, iaitu isi yang terdalam, kulit keras (tempurung), kulit tebal (sabut), dan kulit paling luar. 

1. Kulit paling luar skali
Seseorang yang beriman kepada Allah dalam bentuk perkataan sahaja. Iman ini dikatakan iman orang munafik..Na'uzubillah..

Tingkatan tauhid pertama ini adalah beriman kepada Allah di lidah semata. Orang tersebut tak diperangi serta mendapat perlindungan harta dan jiwanya. Rasulullah SAW bersabda, "Apabila mereka telah mengucapkan kalimat tauhid itu, maka mereka telah melindungi darah dan harta mereka dariku." (HR Muslim, Nasai', Tirmidzi, Ibnu Majah, ahmad Darimi dan Abu Daud)

Makanya, golongan ini telah mendapat kunci pintu syurga, tetapi belum tentu dapat pergi ke pintu itu dan membukanya, seterusnya menjadi penghuni syurga. Sayang skali....

2. Kulit tebal (sabut)
Beriman atas makna kalimat tauhid (Laa Ilaaha Illallah = Tiada Tuhan Selain Allah). Ini adalah tingkatan iman kaum muslimin secara umumnya.

Golongan ini beriman dengan hatinya dan yakin bahawa makna kalimat tauhid bersih dari keraguan tetapi hatinya tidak lapang. Namun, golongan ini dijamin dilindungi dari azab di akhirat apabila dia mati dan berpegang teguh kepada keimanannya dan tidak melakukan perbuatan maksiat. Tingkatan ini mudah dipengaruhi oleh pembuat bid'ah yang menimbulkan kekurangan, juga usaha ahli ilmu dapat menghilangkan kekurangan terhadap amalnya.
3. Kulit Keras (tempurung)
Seseorang yang menyaksikan alam semesta melalui penyingkapan (al-kasyfu). Tingkatatan iman ini adalah tingkatan iman orang yang didekatkan kepada Allah (muqarribin) iaitu ia melihat sesuatu yang berlaku atas banyak sebab tetapi semuanya bersumber dari Allah Yang Maha Kuasa.

Maknanya hati orang dalam golongan ini telah menjadi lapang dan dia tidak bersaksi kecuali satu, Allah Yang Maha Esa.

"Maka apakah orang-orang yang Dibukakan hatinya oleh Allah untuk (menerima) agama Islam lalu dia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan hati orang yang membatu)? Maka celakalah orang yang hatinya telah membatu untuk mengingat Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata." (Az-Zumar,39:22)

4. Isi dalam (Boleh dimakan terus atau dibuat inti)
Dalam persaksiannya, seseorang hanya melihat Allah semata.

Hal ini merupakan penyaksian orang yang mencintai kebenaran (shiddiqin) dan para sufi menamakannya dengan fana' (kemusnahan) dalam tauhid. Dia tidak melihat dirinya sendiri tetapi batinnya tenggelam dalam Zat Yang Maha Esa dan Maha Benar. Inilah yang dimaksud dengan perkataan Abu Zaid, "Kemudian Dia membuatku lupa untuk mengingat diriku sendiri."

Tauhid golongan ini merasai bahawa tidak ada yang hadir dalam kesaksian dalam hatinya, kecuali Allah. Dia tidak memerlukan perantara-perantara, juga tidak perlu dirinya sendiri. Iman seperti ini adalah tingkatan tertinggi. Perumpamaan orang ini seperti minyak yang diperbuat daripada isi kelapa. kebiasaannya tingkatan iman yang ke-4 ini tidak dincangkan lebih lanjut. Kebanyakan manusia zaman ini paling tinggi tingkatan iman yang ke-3 lebih banyak dibincangkan.

     Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa tingkatan iman  UMAR BIN KHATAB ini sudah mencapai tingkatan yang ke-4, sehinggakan impian yang terlintas dihatinya terus dimakbulkan Allah, sesuai dengan ketaatannya dalam menunaikan perintah Allah. Bagaimanakah kita? Tepuk dada, tanyalah IMAN ya, bukan selera, kerana selera mengikut nafsu...


Rujukan:
1. Quantum Tarbiyah oleh Solikhin Abu 'Izzudin.
2. Ihya' Ulumiddin oleh Imam Al-Ghazali



Ringan Di Bibir Tapi Berat Pada Timbangan???

Ringan Di Bibir Tapi Berat Pada Timbangan???
Ya, apakah itu? Itulah kalimah LAA ILAAHA ILLALLAH (Tiada Tuhan Selain Allah). Kalu kita nak menyebut kalimah ini, sangat mudah saja, cuma yang susahnya ialah untuk istiqamah menuturkannya atau membudayakan berzikir dengannya.

Dari 'Usman r.a katanya Rasulullah saw bersabda: "Barangsiapa yang mati dalam keadaan dia yakin bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, maka dia masuk syurga." (HR Shahih Muslim)
Dari Anas bin Malik r.a, katanya: "Pada suatu ketika Nabi saw berada dalam suatu perjalanan bersama Mu'adz bin Jabal, sedangkan Mu'adz membonceng kenderaan beliau. Sabda Rasulullah saw, "Hai Mu'adz!" Jawab Mu'adz, "Hamba ya Rasulullah." Sabda Rasulullah saw, "Hai Mu'adz!" Jawab Mu'adz, "Hamba ya Rasulullah." Sabda Rasulullah saw, "Hai Mu'adz!" Jawab Mu'adz, "Hamba ya Rasulullah!" Sabda Rasulullah saw, "Tidak seorang jua pun hamba yang mengucapkan syahadat, bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad hambaNya dan RasulNya, melainkan Allah mengharamkannya atas neraka." Kata Mu'adz, "Apakah harus kusampaikan kepada orang banyak, supaya mereka gembira?" Jawab Nabi saw, "Kalau-kalau nanti mereka berpangku tangan saja." Tetapi Mu'adz menyampaikannya juga ketika dia hampir meninggal, kerana dia takut berdosa tidak menyampaikan hadis." (HR Shahih Muslim)

Dari 'Itban bin Malik r.a, katanya: "Aku ditimpa musibah, iaitu mataku buta. Kerana itu aku mengutus seseorang mengundang Rasulullah saw, semoga beliau sudi solat di rumahku, di mana kemudian tempat solat beliau itu kujadikan tempat solatku. Kata 'Itban melanjutkan, "Nabi saw datang beserta beberapa orang sahabat. Beliau masuk ke rumahku lalu solat: sedangkan para sahabat bercakap-cakap sesama mereka, yang akhirnya sampai ke perihal Malik bin Dukhsyum. Kata mereka, "Alangkah besar dosanya Malik bin Duksyum." Mereka ingin, kiranya Rasulullah saw mendoakannya supaya dia celaka ditimpa suatu malapetaka." Setelah Rasulullah saw selesai solat, beliau bertanya, "Bukankah dia telah mengucapkan syahadat, bahawa tiada Tuhan selain Allah dan aku Rasulullah?" Jawab mereka, "Dia mengucapkannya tidak dari hatinya." Sabda Rasulullah saw, "Tidak seorang jua pun yang mengucapkan syahadat, bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa aku Rasulullah yang masuk neraka atau dimakan api neraka." Kata Anas, "Hadis ini sangat mngagumkanku. Kerana itu kusuruh anakku menuliskannya."(HR Shahih Muslim)

Wah..subhanallah!! Kasihnya Allah pada kita hambaNya, walau seteruk mana pun ketaatan hamba-hambaNya, kita pasti akan masuk syurga andai kalimah syahadat itu kita yakin di hati, percaya sehingga kita melafazkannya. Kalimah Laa Ilaaha Illallah itulah kunci pintu syurga, salah satu daripada delapan pintu syurga milik Allah.

Kunci Pintu Syurga

Kunci Pintu Syurga
Syurga yang digambarkan di dalam Al-Quran sangat indah pada fikiran kita dan tak terjangkau oleh fikiran kita wajah sebenar keindahan syurga itu dan kadangkala membuatkan hati saya cemburu dengan bidadari syurga itu....hehe..seperti firman Allah dalam surah Al-Waqiah, ayat 31-36:

              "Sungguh orang-orang yang bertaqwa mendapat kemenangan, iaitu kebun-kebun dan buah anggur, dan gadis-gadis montok yang sebaya, dan gelas-gelas yang penuh (berisi minuman), di sana mereka tidak mendengar percakapan, yang sia-sia maupun (perkataan) dusta, sebagai balasan dan pemberian yang cukup banyak dari Tuhanmu."  

Adakah setiap orang Muslim itu ada KUNCI PINTU SYURGA? Ada.....selagi di hatinya ada sesuatu YANG RINGAN DI BIBIR TETAPI BERAT PADA TIMBANGAN AMAL..hmmm? Apa ya?

Tawasul dengan AMAL yg IKHLAS....???

Tawasul dengan AMAL yg IKHLAS....???
Anda tentu pernah mendengar kisah 3 orang yang terkurung di dalam gua yang tertutup batu, lalu meminta pertolongan Allah dengan tawasul melalui amal salih mereka.. Abdullah bin Umar r.a menceritakan kisah berikut yang didengarnya dari Nabi saw.

          Pada zaman dahulu, ada 3 orang yang menempuh perjalanan hingga terpaksa bermalam di sebuah gua. Tatkala mereka tengah beristirehat di dalam gua, tiba-tiba sebuah batu besar terjatuh dari bukit dan tepat menutup pintu gua, sehingga mereka tidak boleh keluar. Mereka berkata, "Tidak ada yg mampu menyelamatkan kita dari bahaya ini kecuali jika tawasul dengan amal salih yang pernah kita lakukan terdahulu." 

           Segera salah seorang di antara mereka bersaksi, "Ya Allah, dahulu saya mempunyai ayah dan ibu. Saya terbiasa tidak memberikan minuman susu kepada sesiapapun, baik keluarga atau hamba sahaya, sebelum kepada keduanya. Pada suatu hari, saya menggembala ternak terlalu jauh, sehingga tidak dapat pulang kepada kedua orang tua saya kecuali setelah malam, saat kedua mereka telah tertidur... Saya tetap memerah susu untuk keduanya dan tidak saya berikan kepada siapa pun sebelum kepada mereka berdua. Saya menunggunya hingga terbit fajar dan hingga mereka meminum susu yang saya sediakan. Padahal, pada malam itu juga anak-anak saya menangis dekat kaki saya, meminta susu itu. Ya Allah, jika saya berbuat itu benar-benar kerana mengharapkan keredhaanMu, maka lapangkanlah keadaan kami ini."

              Selesai sahaja memberikan kesaksian tersebut, mendadak batu tersebut bergeser sedikit, namun belum cukup untuk keluar dari gua. 

               Orang ke-2 memberikan kesaksian juga. "Ya Allah, dahulu saya pernah terikat jalinan cinta dengan anak gadis bapa saudaraku. Sedemikian besar perasaan cinta saya kepaanya hingga saya selalu merayu untuk melakukan zina. Namun dia selalu menolak perbuatan itu. Suatu saat, dia datang kepada saya dalam kelaparan dan meminta bantuan. Maka saya pun memberikan wang 120 dinar dengan janji dia kan menyerahkan dirinya kepada saya pada malam harinya... Saat saya telah berada diantara kedua kakinya, tiba-tiba dia berkata, 'Takutlah kepada Allah dan janganlah kau pecahkan tutup kecuali dengan halal.' Segera saya bangun dan meninggalkannya, padahal saya masih menginginkannya. Saya tinggalkan pula wang dinar yang telah saya berikan. Ya Allah, jika saya berbuat benar-benar kerana mengharap redhaMu, bebaskan kami dari keadaan ini.."

               Selesai memberikan kesaksian tersebut, batu tersebut bergeser sedikit, namun tetap belum cukup untuk keluar dari gua.

                Orang ke-3 turut memberi kesaksian, "Ya Allah, saya dahulu adalah majikan yang memiliki banyak pegawai. Suatu ketika, saat saya sedang membayar upah para pegawai, ada seorang dari mereka yang tidak sabar menunggu, pulang ke rumah meninggalkan upah yang belum diambilnya, dan tidak kembali lagi. Saya pergunakan upah dia untuk usaha, hingga menjadi bertambah banyak dan menjadi harta kekayaan yang berlimpah... Tatkala pegawai tersebut datang, dia berkata, 'Hai Abdullah, berikan upahku yang dahulu itu!' Saya menjawab, 'Semua yang di depanmu, berupa unta, lembu, kambing dan penggembalanya itu, adalah dari upahmu.' Dia berkata, 'Hai Abdullah, jangan mengejekku!' Saya menjawab, 'Saya tidak mengejekmu.' Maka, dia mengambil semua harta yang saya sebutkan dan tidak meninggalkan apa pun. Ya Allah, jika saya berbuat itu kerana mengharap redhaMu, hindarkan kami daripada kesempitan ini.." 

                Tiba-tiba bergeserlah batu besar itu hingga mereka bertiga boleh keluar dari gua dengan selamat...
Riwayat kisah di atas adalah sahih. Periwayatannya disampaikan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.



Selamat Hari Guru =)



              Salam pertemuan kembali setelah lama saya menyepi...busy!..busy!..huh...alasan mantap skali..= ( .. Sempena Hari Guru 16 Mei lepas...saya mengucapkan Selamat Hari Guru (Cikgu/ Pensyarah/ Pendidik/ Murobbi/ Mursyid...) kepada sesiapa sahaja yang pernah mendidik saya dengan ilmu duniawi dan ukhrawi...Jasamu hanya Allah yang dapat membalasnya....Moga dirimu dijanjikan syurga...amin..

              Subhanallah...besar sebenarnya tanggungjawab seorang guru. Pada pandangan peribadi saya, guru yang berjaya ialah guru yang dapat menjadikan anak didiknya faham dan amalkan firman Allah dalam ayat (Az-Zariyat,Q51:56) "Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan mereka beribadah kepada-Ku." walaupun guru tersebut mengajarkan pelajaran sains sekalipun.

              Salah seorang guru yang saya kagumi, perjuangannya dalam meraih ilmu tidak menghalang beliau untuk memperjuangkan agama Allah dan beliau juga berjaya mendidik dan mencetak peribadi insan lain untuk mencontohinya.
             
              Beliau yang pada awalnya menuntut di bahagian pendidikan di Khadorri College dalam bidang pertanian, kemudian sempat mengajar di perkampungan Palestin di sempadan Jordan Selatan. Gigihnya, beliau menyambung pendidikan Sarjana Muda dalam bidang hukum syariah di Universiti Damsyik dan lulus dengan cemerlang pada tahun 1966. Dalam kesibukannya berjihad, kali ini beliau menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah dengan mempelajari disiplin ilmu bidang syariah sehingga meraih gelaran Master. Ijazah Master membawa beliau kembali mengajar di Universiti Jordan. Tidak beberapa lama beliau mendapat biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke tahap doktor falsafah di Universiti Al-Azhar dalam bidang Usul Fiqh hingga tahun 1973...sepertinya seorang Guru Besar Jihad... beliau adalah Abdullah Yusof Azzam atau lebih dikenali sebagai Abdullah Azzam. Lahirnya pada tahun 1941 di Asba'ah al-Hartiyah, Palestin.

               Tahun-tahun akhir 1970an, negara Komunis Soviet Union menyerang Afghanistan tanah kaum Muslimin dan melakukan pembunuhan ke atas penduduknya. Maka, Sheikh Abdullah Azzam mengeluarkan fatwa jihad di Afghanistan adalah fardu ain ke atas setiap Muslim dan fatwa tersebut turut didukung sepenuhnya ulama besar kerajaan Arab Saudi, Abdul Aziz bin Bazz.

              Abdullah Azzam berjaya menjadi inspirasi kepada hampir 20,000 pemuda dari seluruh dunia untuk terjun dalam dunia jihad pada masa itu. Soviet Union akhirnya kalah kerana perjuangan umat Islam ketika itu yang digerakkan oleh Syeikh Abdullah Azzam. Syeikh Abdullah Azzam pernah berkata;

"Saya merasa seperti baru berumur 9 tahun saja. Tujuh tahun setengah saya gunakan umur saya berjihad di Afghanistan. Sedangkan setahun saya baktikan untuk berjihad di Palestin. Selebihnya, tahun-tahun itu tidak bernilai apa-apa."  

                  Bagaimana pula dengan umur kita, berapa tahun umur kita yang bernilai dan bermakna? Sudahkah kita menjadi pendidik yang berjaya? Terutamanya menjadi pendidik terhadap diri kita sendiri...?


Wallahua'lam....Ya Muqollibal Qulub Tsabbit Qulubana A'la dienik wa Thoa'tik...



               

             

                



 

Dunia Oh dunia...di TANGAN atau Di HATI?

Indahnya dunia ciptaan Allah ini. Pelbagai makhluk menempatinya, ada makhluk yg bersyukur dan ada juga yang kufur. Harap-harapnya kita tergolong dlm golongan yg sedikit itu, iaitu golongan yang bersyukur.

Ketika di klinik menunggu giliran anak saya diperiksa, sempat saya bersembang dengan seorang ibu yang juga menunggu giliran nama anaknya dipanggil. "Siapa nama anak akk? Ni anak yang ke berapa?" saya menegur kakak tersebut sambil mengagah anaknya. "Ni anak ke tiga tapi sbnrnya anak yang ke empat" jwbnya smbil tersenyum. Saya berkerut kehairanan dan bertanya, "maksudnya kak? anak ketiga kenapa? gugur?". "Tak, hilang dalam perut. Masa sedar hilang tu ketika kandungan dah tujuh bulan. Sebelum tu baby ada dalam perut, doktor pun tau. Bila scan masa kandungan tujuh bulan, doktor kata anak takde dalam perut." jawab kakak tu selamba. Tercengang saya mendengarnya, pertama kali saya mendengar sendiri kes ini dari mulut org yang melaluinya, sebelum ini dengar cerita-cerita org atau dalam majalah je. "SubhanAllah, pertama kali saya dengar sendiri dari org yang mengalaminya, sblm mcm tak percaya je berlaku." saya membalas. "Ya, memang berlaku, nak buat macammana, ada kawan akk tu, 3 kali anak dalam kandungannya hilang, pastu dia pergi berubat. lepas berubat baru bleh dapat anak..sedih. Lepas akk tau anak akk takde dalam perut, memang sedih la, balik rumah duduk terdiam je." kata akk tersebut. Saya pun terus berbual dengan kakak tersebut melihatkan dia rancak berkongsi cerita.

MasyaAllah..dalam dunia ini, tidak ada peristiwa yang mustahil. Melihatkan wajah kakak tersebut, dia tenang sahaja berkongsi lara hatinya. Ibu mana yang tak sedih, anak yang ditunggu-tunggu untuk disambut kelahirannya, tiba-tiba hilang macam tu je. Baguslah, maknanya kakak tersebut meletakkan dunianya di tangan, bukan dihatinya.

Dunia yang diletakkan ditangan atau dipegang dengan tangan, membolehkan ia ditolak, diadun atau dimanfaatkan. Ini bermakna segala peristiwa yang kita lalui di dunia ini, jika menyedihkan kita, tidaklah kita bertindak  merosakkan diri atau masa depan kita seperti orang yang sudah putus harapan. Jika peristiwa yang menyeronokkan berlaku dalam hidup, tidaklah sampai kita lupa diri dan kita sentiasa bersyukur. Jika ada orang menawarkan ganjaran tapi haram, kita boleh menolaknya. Jika orang menawarkan ganjaran yang halal, kita raihnya segera.

Em..kenapa tidak boleh letak dunia di hati? kerana dikhuatiri dunia ini terlalu dicintai. Jika dunia dicintai, hati tersebut berpenyakit, iaitu penyakit "wahan" (cinta dunia, dan takut mati). Penyakit wahan telahpun melanda umat Islam, menyebabkan musuh-musuh Islam berani memperlekehkan Islam.

Dunia ini hanyalah tempat senda gurau, dan sememangnya tersedia kesenangan dan keindahan tapi malangnya ia SEMENTARA. Oleh itu kejarlah akhirat, pasti dunia mengejarmu, insyaAllah. Moga kita menjadi seorang yang zuhud yang benar. Kenapa?

Zuhud yang benar ialah memahami hakikat dunia, lalu meletakkan DUNIA di TANGAN, bukan di HATI, agar kita tidak sedih ketika gagal mendapatkan sesuatu di dunia ini. (Ruj: Buku Taujih Ruhiyah/ Abd Hamid Al-Bilali.

"Dan kehidupan ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui." (Al-Ankabut,29: 64)

"Dijadikan indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yg bertumpuk berupa emas dan pera, kuda pilihan, haiwan ternakdan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah tempat kembali yang baik." (Ali 'Imran, 3:14)



   

ANUGERAH Badan Harum Selalu

ANUGERAH Badan Harum Selalu
"Sesungguhnya kami selalu mencium bau harum minyak misik dari tubuhmu. Kalau boleh tahu, apa sebenarnya penyebab anda selalu memakai minyak misik setiap saat?", kata seseorang kepada Abu Bakar Al-Miski lalu dijawabnya,"Demi Allah, sungguh aku tidak memakai minyak misik sejak bertahun-tahun lamanya. Namun, aku akan cerita penyebab tubuhku selalu mengeluarkan bau harum minyak misik. Dahulu pernah ada seorang wanita tidak berakhlak menipu dan memperdayaku sehingga ia mampu memaksaku masuk ke rumahnya.

Setelah itu, tiba-tiba ia menutup semua pintu rumahnya dan berusaha menggoda serta merayuku. Pada waktu itu aku sangat bingung sekali. Aku tak tahu apa yang harus aku lakukan supaya aku boleh keluar dari rumahnya. Sehingga akhirnya aku mendapatkan penyelesaian yang kufikir agak keterlaluan. Aku berkata kepadanya, <em>'Aku ingin pergi sebentar ke tandas untuk bersuci.'</em> Lalu, wanita itu memanggil pembantunya dan memerintahkannya untuk mengantarkanku ke tandas.

Setelah sampai di tandas, aku mengambil kotoran dan melumurkannya ke seluruh tubuhku. Lalu aku kembali kepadanya dalam keadaan seluruh tubuhku penuh dengan kotoran. Ketika melihatku dalam keadaan seperti itu, ia sangat keliru sekali. Seketika itu juga ia memanggil pembantunya untuk mengeluarkan aku dari rumahnya. Lalu aku pun pulang ke rumah dan membersihkan seluruh tubuhku yang penuh dengan kotoran.

Pada malam harinya, ketika sedang tidur aku bermimpi melihat seseorang berkata kepadaku, <em>'Abu Bakar, kamu telah melakukan sesuatu yang belum pernah dilakukan orang selainmu. Mulai sekarang Aku akan menjadikan tubuhmu selalu harum di dunia dan akhirat.'</em> Begitulah mulai saat itu tubuhku selalu mengeluarkan bau harum minyak misik dan hal itu masih berlanjut sampai sekarang." (*)

Subhanallah, harapnya masih ramai lelaki yang beriman seperti lelaki yang bergelar al-Miski tersebut. Betapa ramainya manusia yang telah luntur imannya dan hidup bertuhankan nafsu sehinggakan anak, saudara sendiri atau anak saudara pun boleh menjadi mangsa mereka yang bernafsu binatang ini. Ada yang sanggup mengambil kesempatan di atas kesempitan hidup orang lain seolah-olah tiada lagi jalan lain untuk mendapatkan sumber rezeki melainkan dengan menjual kehormatan diri.

Setiap manusia itu pasti diuji, moga Allah melindungi dan memelihara kita daripada ujian nafsu yang haram dan dicela Allah...amin.

(*) Ibnul Jauzi, Al-Mawa'idz wa Al Majalis, hlm 224.