Sabar dan Syukur

Sabar dan Syukur
Seorang ibu yang mahu jadi penyayang, pasti akan teruji apabila anaknya menangis, meraung dan meragam…

Seorang guru yang mahu jadi terbaik pasti teruji apabila anak murid melawan, dan berkasar dengannya…

Seorang suami yang mahu jadi budiman pasti teruji apabila isterinya meninggikan suara, dan membantahnya…

Seorang pemimpin yang mahu jadi amanah dan beriman pasti teruji apabila fitnah melanda dirinya dan  rakyat tidak faham tuntutan Islam…

Pastinya setiap orang akan diuji dalam kehidupan, cuma adakah kita sedar untuk apa ujian tersebut? Siapa yang memberi kita ujian? Sabar dan syukurkah kita dalam menghadapi ujian hidup? Cuba kita bandingkan dua peristiwa tersebut, ujian sabar yang boleh menjadikan seseorang manusia itu yang paling mulia atau yang paling hina di sisi Allah..

Pada 16 Sept 2012, mayat bayi perempuan ditemui di kawasan tempat letak kereta di Pangsapuri Desa Mentari, Petaling Jaya di sini hari ini dengan kecederaan parah di kepala akibat dicampak dari tempat tinggi oleh ibunya sendiri, dipercayai tingkat tiga blok 11, kira-kira jam 11 pagi. Awalnya ibu tersebut diuji sabarnya untuk tidak menghampiri zina seperti dalam firman Allah, ‘Laa Taqrabuzzina’ (jgn hampiri zina), (Q17:32), namun dia tidak sabar, lantas terus melakukan perkara-perkara yang menghampiri zina sehingga membawa kepada penzinaan yang sebenar dan akhirnya anak luar nikahnya yang tidak berdosa dibuang selepas selamat dilahirkan.

Kisah seterusnya tentang wanita yang bernama Maryam binti ‘Imran. MARYAM berkata: “Bagaimana akan ada bagiku seorang anak laki-laki, sedang tidak pernah seorang manusia pun menyentuhku dan aku bukan (pula) seorang penzina? Jibril berkata: Demikian Tuhanmu berfirman “Hal itu adalah mudah bagi-Ku; dan agar dapat Kami menjadikannya suatu tanda bagi manusia dan sebagai rahmat bagi Kami; dan hal itu adalah suatu perkara yang sudah diputuskan.”  (Maryam: 20-21)

MARYAM merupakan ibu kepada Nabi Isa. Semasa kecil, Maryam dihantar ke sebuah tempat ibadah oleh bapa saudaranya, Nabi Zakaria. Pada suatu hari, ketika Maryam sedang beribadat kepada Allah, datanglah Malaikat Jibril dalam bentuk pemuda yang tampan agar Maryam tidak ketakutan.“Aku datang sebagai utusan Allah. Dia akan memberimu seorang anak lelaki yang suci dan kudus,” kata Malaikat Jibril. Maryam terkejut mendengar kata-kata itu. “Bagaimana aku boleh memperoleh anak lelaki sedangkan aku masih belum berkahwin? Aku masih belum pernah disentuh oleh mana-mana lelaki,” balas Maryam.“Apabila Allah s.w.t. menghendaki sesuatu perkara itu terjadi, maka akan jadilah ia. Dia Maha Berkuasa di atas segala-galanya,” jawab Malaikat Jibril.

Malaikat Jibril pun terus berlalu meninggalkan Maryam kebingungan. Masyarakat pasti akan menghina dan mencercanya. Beliau masih belum berkahwin. Sekiranya mengandung, pasti orang akan menuduhnya melakukan zina. Oleh sebab itu, Maryam terpaksa melarikan diri dari Baitulmaqdis. Beliau pulang ke kampung halamannya di Annashirah. Di kampung, Maryam memencilkan diri daripada orang kampung. Beliau enggan menemui sesiapa pun termasuklah keluarganya sendiri. Beliau berpura-pura tidak sihat. Sepanjang masa Maryam mengabdikan dirinya dan beribadat kepada Allah. Beliau bermohon agar dikuatkan semangatnya untuk menghadapi cemuhan daripada masyarakat kelak. Maryam memperoleh ketenangan yang didambakan dengan keizinan Allah. Allah memperkenankan doa hamba-Nya yang soleh.

Maryam melalui hari-harinya dengan ketabahan sehinggalah beliau selamat melahirkan bayi yang dikandungkannya itu. Beliau memberi nama anaknya Isa yang bakal menjadi nabi bagi kaum Bani Israel serta membawa kitab Injil. DAN (ingatlah wahai Maryam) yang telah menjaga kehormatannya lalu Kami tiupkan ke dalam (tubuhnya) roh dari Kami dan Kami jadikan dia dan anaknya tanda (kekuasaan) yang besar bagi alam semesta. (al-Anbiyaa’: 91). MARYAM seorang perempuan yang suci. Beliau menghabiskan masanya dengan beribadat kepada Allah.

Apabila tiba masa untuk melahirkan anak, Maryam pun keluar dari rumahnya dengan senyap-senyap. Beliau telah pergi ke tempat yang terpencil dan tiada orang. Akhirnya, Maryam terpaksa berhenti di bawah sebatang pokok kurma. Beliau sudah tidak dapat menahan kesakitan lagi. Tidak lama kemudian, Maryam pun melahirkan bayinya dan bayi itu diberi nama Isa. Maryam menatap wajah anaknya dengan linangan air mata. Beliau berkata: “Alangkah baiknya kalau aku ditakdirkan mati sebelum melahirkan anak tanpa sebarang suami.” Maryam berasa amat lapar dan dahaga. Beliau tidak menemui apa-apa yang boleh dimakan atau diminum. Keadaan padang pasir itu kontang dan tandus. Tiba-tiba Maryam terdengar satu suara. “Wahai Maryam, janganlah engkau bersedih. Minumlah air yang mengalir dari bawah tapak kakimu. Goyangkan pokok kurma di belakangmu dan makanlah buahnya. Kemudian pulanglah engkau ke kampung. Jika engkau menemui sesiapa, katakan kepada mereka engkau bernazar puasa dan tidak akan bercakap dengan sesiapapun.” 

Kesimpulannya, kedua wanita tersebut diuji Allah, pertamanya sabar untuk pelihara kehormatan diri, namun wanita pertama gagal, manakala Maryam berjaya. Sabar kedua adalah untuk pelihara bayi dalam kandungan, Allah tetap menguji Maryam dengan meniupkan roh ke dalam rahimnya dan mengandungkan bayi yang bakal menjadi nabi, manakala wanita pertama tersebut mengandung hasil setelah berzina, namun kedua wanita ini berjaya. Akhirnya adakah mereka sabar untuk menerima dan mendidik bayi yang selamat dilahirkan? Sabar yang ketiga inilah yang mengangkat martabat Maryam di sisi Allah, manakala wanita pertama tersebut gagal dengan mencampakkan bayinya dan menjadikan dia hina pada pandangan manusia, apatah lagi di sisi Allah. Andainya wanita pertama tersebut berjaya pada ujian ketiga dan bertaubat pada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengasih Dan Penyayang serta Maha Menerima Taubat hambaNya.

Imam  Ghazali menyatakan bahawa IMAN terbahagi kepada dua, separuh adalah sabar dan separuh lagi adalah syukur; seperti yang ditunjukkan di dalam hadits-hadits dan perkataan-perkataan sahabat.

Keutamaan Sabar

Allah swt berfirman mengenai sabar,

            “Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami selama mereka bersabar. Mereka meyakini ayat-ayat Kami.” (As-Sajdah, 32: 24)

            “…Dan Kami pasti akan memberi balasan kepada orang yang sabar…”
(An-Nahl,16: 96) 

            Rasulullah Saw bersabda, “Kesabaran adalah harta di antara harta-harta yang terpendam di dalam syurga.”

Selain itu, dalam ayat 7: surah al-A’raf juga terdapat firman Allah tentang sabar.

Makna Sabar

Sabar terbentuk dari keterpaduan tiga aspek, diumpama sepohon pokok:

a)      Pengetahuan    : Batang pokok daripada akar : Kemaslahatan agama
b)      Suasana Hati   : Ranting-ranting                      : Kekuatan dan motivasi
c)      Perbuatan        : Buah-buahan                         : Amal yang dilakukan tidak berlebihan.

Tingkatan Sabar

Imam Ghazali menyatakan:

a)      Tingkatan sabar pertama   : menahan dorongan nafsu dan menghilangkan motif-motifnya.
b)      Tingkatan sabar ke dua     : ketika menghadapi gangguan dari orang lain, baik perkataan atau perbuatan.
c)      Tingkatan sabar ketiga      : ketika ditimpa musibah.

Ibnu Abbas pernah berkata, “Ada tiga tingkatan sabar dalam Al-Quran, iaitu (1) sabar ketika melakukan perintah-perintah Allah swt yang memiliki tingkatan sebesar 300 derajat; (2) sabar ketika menjauhi larangan-laranganNya yang memiliki tingkatan sebesar 600 derajat; dan (3) sabar terhadap musibah yang baru menimpayang memiliki tingkatan 900 derajat.”


Keutamaan Syukur

Allah memadukan keutamaan syukur dengan zikir, seperti yang diungkapkan dalam firmanNya, “Dan (ketahuilah) mengingat Allah (solat) itu lebih besar (keutamaannya daripada ibadah lain)...” (Al-ankabut, 29: 45)
Allah swt juga berfirman,
            “Maka ingatlah kepadaKu, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepadaKu…” (Al-Baqarah,2:152)
            “…(Allah) akan member balasan kepada orang yang bersyukur.” (Ali-Imran,3:144)
            Begitu pula, Rasulullah saw pernah bersabda, “Derajat orang yang makan seraya bersyukur, sama seperti orang yang berpuasa seraya bersabar.” (HR Ibnu Majah, Tirmidzi, Darimi, Ahmad dan Hakim)

Makna Syukur

Syukur juga terbentuk daripada keterpaduan tiga aspek, iaitu:

a)      Pengetahuan           : tiada suatu apa pun yang dapat memberi nikmat selain Allah swt serta perincian       
                                      nikmat Allah atas seluruh anggota badan, jiwa serta segala keperluan hidup.
b)      Hati                        :  mendorong kesedaran untuk memiliki kewajipan melaksanakan perintah Allah.
c)      Perbuatan dan Lisan: menzahirkan sesuatu yang baik dan dapat disaksikan oleh orang sekeliling sebagai 
                                       panduan.

Jenis Syukur

Hati: menyembunyikan kebaikan daripada pengetahuan orang lain, dan selalu isi hati dengan zikir.
Ucapan: mengungkapkan rasa syukur kepada Allah swt melalui kalimat-kalimat tahmid (puji-pujian kepada Allah).
Anggota Badan: dipergunakan untuk taat perintah Allah dan jauhi laranganNya. Contohnya apabila mata melihat aib orang muslim, dan telinga yang mendengar aib orang muslim, maka  mulutnya tidak akan menyebarkannya. Maka mata hanya melihat dan telinga hanya mendengar perkara-perkara yang diperbolehkan dan menghindari maksiat.

Rujukan:
  1. “Sabar Dan Syukur”, Ihya’ Ulumiddin, Imam Al-Ghazali, Darussalam Kairo, Penerjemah: Mujahidin Muhayan, Lc.dkk, Cetakan I, Ogos 2008, Penerbit: Pena Pundi Aksara, Jakarta.
  2. Blog: Iban-Muslim.