Iman Sesedap Isi Buah Kelapa

Iman Sesedap Isi Buah Kelapa
Kadangkala saya terfikir...emm..dalam lautan manusia di dunia sekarang ini, bagaimana kita boleh menjadi insan 'special' di sisi Allah? Seperti Umar Al Khatab ini....

       UMAR BIN KHATAB adalah salah seorang daripada sekian ribu sahabat Rasulullah SAW  yang telah dijanjikan Bidadari Edisi Special... Semenjak beliau memeluk Islam, kaum muslimin seolah mendapat kekuatan baru yang sangat dasyat. Makbulnya doa Rasulullah SAW, "Ya Allah, muliakanlah Islam dengan masuknya salah seorang dari dua Umar." iaitu Umar Bin Khatab dan Amr Bin Hisyam atau dikenali sebagai Abu Jahal. Setelah Islamnya Umar, umat Islam berani solat dan tawaf di Kaa'bah secara terang-terangan. Umar sangat wara', teliti dan berhati-hati terhadap dosa hingga sekecil-kecilnya. Bahkan beliau sangat takut kalau-kalau masuk neraka walaupun beliau antara 10 sahabat yang dijamin syurga. Umar r.a mempelajari surah Al-Baqarah selama 10 tahun, kemudian beliau melapor kepada Rasulullah SAW, "Wahai Rasulullah SAW apakah kehidupanku sudah mencerminkan surah Al-Baqarah? Apabila belum, maka aku tidak akan melanjutkan ke surah berikutnya." Rasulullah menjawab, "Sudah..!"  

   Umar r.a mengamalkan dinul Islam, agama haq ini sesuai dengan kehendak Allah SWT, kerana kesungguhan beliau, banyak ayat di dalam Al-Qur'an yang diturunkan Allah SWT berdasarkan kehendak di hatinya, seperti pengharaman arak, ayat mengenai hijab, ayat tentang tawanan perang Badar, seputar penciptaan manusia dalam surah Al-Mu'minuun 12-14, "Fatabaarakallahu Ahsanal Khaliqiin...Maka Maha Suci Allah, Pencipta Yang Paling Baik"..dan beberapa ayat Al-Quran yang lain.

       Rasulullah SAW seringkali bercerita kepada para sahabat peristiwa Mi'raj beliau menghadap Allah SWT dan sering juga beliau menceritakan bagaimana keadaan syurga yang dijanjikan Allah SWT kepada para   sahabatnya.

      Suatu hari ketika Rasulullah SAW dimi'rajkan menghadap Allah SWT, malaikat Jibril AS memperlihatkan kepada beliau taman-taman syurga. Rasulullah SAW melihat ada sekumpulan bidadari yang sedang bergurau senda. Ada seorang bidadari yang sangat berbeza dengan yang lainnya. Bidadari itu menyendiri dan nampak sangat pemalu. Rasulullah SAW bertanya kepada Jibril, "Wahai Jibril, bidadari siapakah itu?" Malaikat Jibril menjawab,

"Bidadari itu adalah untuk sahabatmu, Umar r.a. Pernah suatu hari dia membayangkan tentang syurga yang engkau ceritakan keindahannya. Dia mengingin seorang bidadari yang berbeza dengan yang lainnya. Bidadari yang dia inginkan itu berkulit hitam manis, dahinya tinggi, bahagian atas matanya bewarna merah dan bahagian bawah matanya bewarna biru serta memiliki sifat yang sangat pemalu. Oleh kerana sahabatmu itu selalu memenuhi kehendak Allah SWT, maka saat itu juga Allah SWT menjadikan seorang bidadari untuknya sesuai dengan apa yang dikehendaki hatinya."

      MasyaAllah...Subhanallah. Begitulah, seorang bidadari edisi 'special' khusus buat Umar Bin Khatab seorang yang sangat ditakuti syaitan. Berbeza sangat dengan kita yang tak ditakuti oleh syaitan tapi mungkin lebih disenangi syaitan...Nau'zubillah... 

      'Special'nya seorang Umar Al-Khatab yang memiliki iman sesedap isi buah kelapa ini... Bagaimana saya boleh katakan begitu? Menurut Imam Al-Ghazali, beliau mengibaratkan tingkatan iman seperti sebiji buah kelapa yang mempunyai empat lapisan, iaitu isi yang terdalam, kulit keras (tempurung), kulit tebal (sabut), dan kulit paling luar. 

1. Kulit paling luar skali
Seseorang yang beriman kepada Allah dalam bentuk perkataan sahaja. Iman ini dikatakan iman orang munafik..Na'uzubillah..

Tingkatan tauhid pertama ini adalah beriman kepada Allah di lidah semata. Orang tersebut tak diperangi serta mendapat perlindungan harta dan jiwanya. Rasulullah SAW bersabda, "Apabila mereka telah mengucapkan kalimat tauhid itu, maka mereka telah melindungi darah dan harta mereka dariku." (HR Muslim, Nasai', Tirmidzi, Ibnu Majah, ahmad Darimi dan Abu Daud)

Makanya, golongan ini telah mendapat kunci pintu syurga, tetapi belum tentu dapat pergi ke pintu itu dan membukanya, seterusnya menjadi penghuni syurga. Sayang skali....

2. Kulit tebal (sabut)
Beriman atas makna kalimat tauhid (Laa Ilaaha Illallah = Tiada Tuhan Selain Allah). Ini adalah tingkatan iman kaum muslimin secara umumnya.

Golongan ini beriman dengan hatinya dan yakin bahawa makna kalimat tauhid bersih dari keraguan tetapi hatinya tidak lapang. Namun, golongan ini dijamin dilindungi dari azab di akhirat apabila dia mati dan berpegang teguh kepada keimanannya dan tidak melakukan perbuatan maksiat. Tingkatan ini mudah dipengaruhi oleh pembuat bid'ah yang menimbulkan kekurangan, juga usaha ahli ilmu dapat menghilangkan kekurangan terhadap amalnya.
3. Kulit Keras (tempurung)
Seseorang yang menyaksikan alam semesta melalui penyingkapan (al-kasyfu). Tingkatatan iman ini adalah tingkatan iman orang yang didekatkan kepada Allah (muqarribin) iaitu ia melihat sesuatu yang berlaku atas banyak sebab tetapi semuanya bersumber dari Allah Yang Maha Kuasa.

Maknanya hati orang dalam golongan ini telah menjadi lapang dan dia tidak bersaksi kecuali satu, Allah Yang Maha Esa.

"Maka apakah orang-orang yang Dibukakan hatinya oleh Allah untuk (menerima) agama Islam lalu dia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan hati orang yang membatu)? Maka celakalah orang yang hatinya telah membatu untuk mengingat Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata." (Az-Zumar,39:22)

4. Isi dalam (Boleh dimakan terus atau dibuat inti)
Dalam persaksiannya, seseorang hanya melihat Allah semata.

Hal ini merupakan penyaksian orang yang mencintai kebenaran (shiddiqin) dan para sufi menamakannya dengan fana' (kemusnahan) dalam tauhid. Dia tidak melihat dirinya sendiri tetapi batinnya tenggelam dalam Zat Yang Maha Esa dan Maha Benar. Inilah yang dimaksud dengan perkataan Abu Zaid, "Kemudian Dia membuatku lupa untuk mengingat diriku sendiri."

Tauhid golongan ini merasai bahawa tidak ada yang hadir dalam kesaksian dalam hatinya, kecuali Allah. Dia tidak memerlukan perantara-perantara, juga tidak perlu dirinya sendiri. Iman seperti ini adalah tingkatan tertinggi. Perumpamaan orang ini seperti minyak yang diperbuat daripada isi kelapa. kebiasaannya tingkatan iman yang ke-4 ini tidak dincangkan lebih lanjut. Kebanyakan manusia zaman ini paling tinggi tingkatan iman yang ke-3 lebih banyak dibincangkan.

     Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa tingkatan iman  UMAR BIN KHATAB ini sudah mencapai tingkatan yang ke-4, sehinggakan impian yang terlintas dihatinya terus dimakbulkan Allah, sesuai dengan ketaatannya dalam menunaikan perintah Allah. Bagaimanakah kita? Tepuk dada, tanyalah IMAN ya, bukan selera, kerana selera mengikut nafsu...


Rujukan:
1. Quantum Tarbiyah oleh Solikhin Abu 'Izzudin.
2. Ihya' Ulumiddin oleh Imam Al-Ghazali



Ringan Di Bibir Tapi Berat Pada Timbangan???

Ringan Di Bibir Tapi Berat Pada Timbangan???
Ya, apakah itu? Itulah kalimah LAA ILAAHA ILLALLAH (Tiada Tuhan Selain Allah). Kalu kita nak menyebut kalimah ini, sangat mudah saja, cuma yang susahnya ialah untuk istiqamah menuturkannya atau membudayakan berzikir dengannya.

Dari 'Usman r.a katanya Rasulullah saw bersabda: "Barangsiapa yang mati dalam keadaan dia yakin bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, maka dia masuk syurga." (HR Shahih Muslim)
Dari Anas bin Malik r.a, katanya: "Pada suatu ketika Nabi saw berada dalam suatu perjalanan bersama Mu'adz bin Jabal, sedangkan Mu'adz membonceng kenderaan beliau. Sabda Rasulullah saw, "Hai Mu'adz!" Jawab Mu'adz, "Hamba ya Rasulullah." Sabda Rasulullah saw, "Hai Mu'adz!" Jawab Mu'adz, "Hamba ya Rasulullah." Sabda Rasulullah saw, "Hai Mu'adz!" Jawab Mu'adz, "Hamba ya Rasulullah!" Sabda Rasulullah saw, "Tidak seorang jua pun hamba yang mengucapkan syahadat, bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad hambaNya dan RasulNya, melainkan Allah mengharamkannya atas neraka." Kata Mu'adz, "Apakah harus kusampaikan kepada orang banyak, supaya mereka gembira?" Jawab Nabi saw, "Kalau-kalau nanti mereka berpangku tangan saja." Tetapi Mu'adz menyampaikannya juga ketika dia hampir meninggal, kerana dia takut berdosa tidak menyampaikan hadis." (HR Shahih Muslim)

Dari 'Itban bin Malik r.a, katanya: "Aku ditimpa musibah, iaitu mataku buta. Kerana itu aku mengutus seseorang mengundang Rasulullah saw, semoga beliau sudi solat di rumahku, di mana kemudian tempat solat beliau itu kujadikan tempat solatku. Kata 'Itban melanjutkan, "Nabi saw datang beserta beberapa orang sahabat. Beliau masuk ke rumahku lalu solat: sedangkan para sahabat bercakap-cakap sesama mereka, yang akhirnya sampai ke perihal Malik bin Dukhsyum. Kata mereka, "Alangkah besar dosanya Malik bin Duksyum." Mereka ingin, kiranya Rasulullah saw mendoakannya supaya dia celaka ditimpa suatu malapetaka." Setelah Rasulullah saw selesai solat, beliau bertanya, "Bukankah dia telah mengucapkan syahadat, bahawa tiada Tuhan selain Allah dan aku Rasulullah?" Jawab mereka, "Dia mengucapkannya tidak dari hatinya." Sabda Rasulullah saw, "Tidak seorang jua pun yang mengucapkan syahadat, bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa aku Rasulullah yang masuk neraka atau dimakan api neraka." Kata Anas, "Hadis ini sangat mngagumkanku. Kerana itu kusuruh anakku menuliskannya."(HR Shahih Muslim)

Wah..subhanallah!! Kasihnya Allah pada kita hambaNya, walau seteruk mana pun ketaatan hamba-hambaNya, kita pasti akan masuk syurga andai kalimah syahadat itu kita yakin di hati, percaya sehingga kita melafazkannya. Kalimah Laa Ilaaha Illallah itulah kunci pintu syurga, salah satu daripada delapan pintu syurga milik Allah.